KUALA LUMPUR - Seorang pakar hidupan liar melahirkan keraguan terhadap kesahihan saiz sebenar cicak gergasi seperti yang ditemui oleh seorang belia di Kalabakan, Sabah kerana spesies cicak tersebut tidak mungkin akan mencapai berat sehingga 64 kilogram.

Menurut Pengarah Eksekutif Dana Hidupan Liar Malaysia (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius S.K. Sharma, adalah mustahil untuk seekor cicak hutan atau nama saintifiknya Gecko boleh membesar sehingga mencapai berat tersebut.

"Selalunya spesies ini cuma sepanjang 17.6 sentimeter dan lebar badan cuma sebesar 3 sentimeter. Rupanya sama seperti Gecko tapi memang mustahil malah tidak tergolong langsung dalam keluarga biawak," katanya ketika dihubungi untuk mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai penemuan cicak gergasi di Sabah.

Malah beliau membuat andaian terdapat kemungkinan gambar tersebut tidak asli dan telah diubahsuai supaya menjadi lebih besar.

"Jika benar ia mungkin adalah spesies yang aneh tetapi pada saya ada sesuatu yang tidak kena dan tidak betul di sini," ujar beliau.


0 comments

Around the world